Rakyat Melaka dapat masuk percuma ke lokasi pelancongan, 24 Ogos depan

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

SERI NEGERI 4 Jun – Kerajaan Melaka mengumumkan tawaran kemasukan percuma ke lokasi pelancongan untuk rakyat Melaka dengan kad pengenalan 04 serta pemastautin pada 24 Ogos depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran istimewa itu diberikan bersempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Ketika menyampaikan ucapan kalam taat setia bersempena pelantikan Yang di-Pertua Negeri bagi penggal kedua, Ketua Menteri turut mencadangkan cuti peristiwa pada 24 Ogos (Sabtu) dianjak kepada Isnin (26 Ogos).

“Bagi menghargai rakyat Melaka, maka, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya cuti peristiwa diberikan kepada Negeri Melaka pada 24 Ogos (Sabtu), di mana Melaka diberi cuti anjakan pada hari Isnin.

“Kerajaan Negeri juga berbesar hati menawarkan kepada rakyat Negeri Melaka, kad pengenalan 04 serta pemastautin untuk menikmati kemasukan secara percuma di lokasi pelancongan pada 24 Ogos 2024 bersempena Hari Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang Terutama Tun.

“Semoga pengumuman ini dapat memberi kegembiraan buat seluruh rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Taat Setia Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Sempena Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Penggal Kedua di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4492
Kongsi :
Previous post Tun Dr. Mohd Ali angkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka
Next post Ekonomi Melaka diunjur berkembang sejajar KDNK nasional
Ubah saiz-+=