Tahun keempat MAIM salur bantuan Aidiladha untuk mualaf

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Sejumlah RM660,000 diperuntukkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk Bantuan Aidiladha Mualaf Tahun 2024M/1445H.

Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis berkata, bantuan itu disalurkan bagi membantu penerima membuat persediaan menyambut Hari Raya Haji atau turut dikenali Hari Raya Korban pada 10 Zulhijah.

“Tahun ini adalah tahun keempat MAIM menyediakan Bantuan Aidiladha Mualaf, di mana mualaf berusia lebih 18 tahun keatas, berdaftar dan bermastautin di Melaka layak menerimanya.

“Mereka akan menerima bantuan tunai berjumlah RM300 setiap seorang dan kita jangkakan seramai 2,200 orang mualaf akan menerima bantuan ini.

“Ini adalah sebagai satu bantuan untuk persiapan mereka menyambut ketika Hari Raya Aidiladha bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Kursus Pasca Awal Perkahwinan Mualaf Negeri Melaka Siri 1/2024, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Menurut Mohd Hairulamin, selain sumbangan bantuan itu, MAIM turut memilih lima mualaf untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

“Alhamdulillah rezeki tahun ini apabila lima orang asnaf mualaf kita terpilih menunaikan ibadah haji dan setiap seorang diberikan bantuan RM1,000.

“Selain mualaf, Bantuan Aidiladha ini turut akan disalurkan kepada lebih 10,000 asnaf, fakir dan miskin yang mana setiap seorang akan menerima RM400,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hairulamin berkata, bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha juga, Balai Islam akan mengadakan Bicara Arafah pada 9 Zulhijah, yang mana pengisiannya lebih kepada kisah serta pengajaran penting dalam mensyukuri nikmat sebagai seorang Muslim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post Melaka promosi pelancongan kesihatan di Batam
Next post Orang ramai diminta waspada, jangan muat turun sebarang APK
Ubah saiz-+=