800 motosikal klasik promosi Malaysia Bike Week 2024

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KOTA LAKSAMANA 2 Jun – Seramai 800 penunggang motosikal klasik dari beberapa buah negara berkonvoi secara serentak di beberapa lokasi seluruh negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, program diadakan itu bertujuan mempromosi Malaysia Bike Week 2024 yang dijadual diadakan hujung minggu hadapan

Katanya, pelbagai jenis motosikal klasik seperti vespa dan motosikal berkuasa tinggi dari Singapura, Indonesia dan Brunei berjaya dihimpunkan di negeri ini.

“Mereka mula datang ke Melaka sejak semalam dan program ini berlangsung sehingga esok dengan konsep santai sebagai promosi awal sempena sambutan MMalaysia Bike Week 2024.

“Program diadakan dengan kerjasama Persatuan Motosikal Klasik Malaysia ini mampu jadi pemangkin kepada sambutan yang diadakan besar-besaran itu nanti dengan sasaran kira-kira 50,000 penunggang motosikal akan dihimpunkan pada 14 hingga 16 Jun ini.

“Kita juga telah dimaklumkan persatuan permotoran dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand yang berminat untuk menyertai acara berskala besar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan gimik pelepasan konvoi pada program Malaysia International Classic Bike Festival 2024 (MICBF24) diadakan di sebuah hotel di Jalan Tun Perak, Kampung Enam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam program diadakan itu juga, Kerajaan Negeri turut menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk mempamerkan aset baginda di Hall B dan C Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) secara percuma bermula 15 Jun ini.

“Sebanyak 10 motosikal dan satu kereta Proton X50 turut disediakan khas bagi cabutan nombor bertuah kepada peserta serta pengunjung yang hadir.

“Kita juga telah bersiap sedia 100 peratus menyediakan kemudahan bagi penganjuran program itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang dijangka menarik ramai pengunjung tempatan dan luar negara,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

219
Kongsi :
Previous post Melaka Bila Larut Malam: Panggung Bangsawan beza ‘show’ setiap bulan
Next post 10,752 nikmati tawaran Bila Larut Malam
Ubah saiz-+=