Wanita, bayi dalam kandungan maut nahas motosikal, MPV

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Jun – Wanita yang sarat hamil dan bayi dalam kandungannya maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Taming Sari, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.05 malam itu, Puteri Nur Iman Hamidun, 27, yang membonceng motosikal ditunggang suaminya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama suaminya yang menunggang motosikal jenis Honda sedang dalam perjalanan dari persimpangan lampu isyarat Pengkalan Rama menghala ke Hospital Melaka.

Katanya, sewaktu melalui Jalan Taming Sari, sebuah kereta jenis Proton Exora dipandu wanita berusia 41 tahun dipercayai telah keluar dari simpang Jalan Mawar untuk membelok ke kanan.

Ketika itu, ujarnya, motosikal dinaiki suami isteri itu tidak sempat mengelak, lalu melanggar ‘fender’ hadapan sebelah kanan kereta menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh di jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan, manakala pembonceng yang sedang mengandung mengalami kecederaan parah di kepala, perut dan punggung.

“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan, namun wanita dan bayi dalam kandungannya disahkan meninggal dunia ketika dirawat di zon merah.

“Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan untuk mengetahui punca kematian.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup di lokasi.

Katanya, pihak polis juga sedang mengesan saksi yang melihat kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1560
Kongsi :
Previous post Teroka Muzium Penjara waktu malam
Next post Menara Taming Sari ‘hidupkan’ aura larut malam Melaka
Ubah saiz-+=