Rumah terbakar: Suami isteri terkilan wang persiapan kahwin anak hangus
KOTA BHARU, 31 Mei – Sepasang suami isteri terkilan apabila wang simpanan RM20,000 yang akan digunakan untuk majlis perkahwinan anak mereka pada September ini, hangus dalam kebakaran melibatkan lima rumah di Kampung Lundang di sini awal pagi tadi.
Mangsa Mohd Razali Yusof, 67, berkata kejadian berlaku pada 3 pagi tadi apabila dia dan keluarga yang ketika itu sedang tidur dikejutkan dengan bunyi letupan kecil di luar bilik.
“Saya bergegas keluar dan melihat api sedang marak di luar bilik sebelum segera memberitahu isteri, anak serta cucu lelaki berusia sembilan tahun untuk keluar menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya selain wang simpanan turut musnah dalam kebakaran itu sebuah kereta Proton Preve dan motosikal Yamaha Y15ZR serta barang-barang lain yang tidak sempat diselamatkan.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.
Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 3.15 awal pagi tadi.
“Kerja-kerja pemadaman telah dilakukan dan api dapat dikawal pada 4.45 pagi tadi. Seorang wanita berusia 36 tahun yang terkena renjatan elektrik telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut,” katanya memaklumkan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.