‘Syurga’ oleh-oleh murah di Alor Gajah
REMBIA 30 Mei – Dengan harga serendah RM1 pelancong boleh mendapatkan pelbagai jenis buah tangan atau oleh-oleh yang dijual murah di Pasar Alor Gajah.
Pusat perniagaan yang terletak di titik tengah Bandar Alor Gajah itu menjual ratusan produk yang dihasilkan sendiri perusahaan kecil sederhana (PKS) dari beberapa kampung seluruh Melaka.
Peniaga, Norijah Kamis,66, berkata, gerai jualan IR Murah Rezeki atau sering dikenali kedai Man Patek beroperasi setiap hari dari 7 pagi hingga 10 malam merupakan perusahaan keluarga yang dijalankannya sejak 36 tahun yang lalu.
“Di gerai kami lebih 100 jenis oleh-oleh dijual dengan harga rendah seperti belacan, cencalok, inang-inang, pisang salai, madu lebah serta pelbagai jenis kuih-muih dan kerepek boleh didapati di sini.
“Kesemua produk yang dihasilkan adalah produk PKS dari Melaka dijual dengan harga murah dan berpatutan untuk pelancong dan pengunjung yang datang di sini.
“Kebiasaannya ramai yang datang di sini ingin membeli belacan dan cencalok yang dijual murah malah ada beberapa pakej jualan yang kami jual turut mendapat perhatian iaitu pelanggan boleh mendapatkan lima variasi oleh-oleh dengan harga RM20,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sebagai orang lama, Norijah berkata jualannya itu dapat membantu penduduk kampung sekitar menjana pendapatan.
“Sejak saya berpindah di pasar ini 20 tahun lalu banyak produk-produk desa diketengahkan kepada pelancong.
“Ramai pelanggan tetap akan datang di sini setiap kali melancong ke Melaka kerana mereka kata kedai di sini lebih murah berbanding di kawasan tumpuan pelancongan lain di Melaka,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Norafiza Maamor, 35 berkata, gerainya itu juga menawarkan pelbagai produk dan telah berjaya menambat ramai pelanggan yang datang dari seluruh pelosok negara.
Dia yang mewarisi perniagaan bapa lebih satu dekad lalu berkata, pasar itu dianggap ‘syurga’ oleh-oleh kerana sering menambat hati pelancong yang ingin membeli buah tangan untuk dibawa pulang.
“Ramai yang datang ke kedai saya sebab nak membeli kuih bakar dihasilkan orang kampung sehinggakan ada yang sanggup datang dari Singapura untuk membeli produk yang ada di sini.
“Di sini umpama syurga oleh-oleh murah yang ada di Melaka dan dengan harga serendah RM1 mereka boleh mendapatkan produk untuk dijadikan kudapan dan kenangan setiap kali melancong ke negeri bertuah ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.