Sorting by

×

Peniaga, penjaja kecil sedia lanjut operasi hingga 3 pagi

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 30 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menggalakkan peniaga dan penjaja kecil sekitar lokasi terbabit penganjuran Melaka Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’ untuk melanjutkan waktu operasi mereka.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, peniaga berlesen sedia ada dibenarkan untuk melanjutkan operasi hingga jam 3 pagi dan pada masa yang sama mengalu-alukan peniaga baharu untuk turut serta menawarkan produk masing-masing di lokasi terpilih berkenaan.

Katanya, setakat ini hampir kesemua peniaga sedia ada dalam kawasan Zon Bebas Kenderaan memberikan maklum balas positif dan sedia untuk melanjutkan tempoh operasi seperti diminta.

“Rata-rata peniaga mahu mengambil peluang menambah pendapatan susulan lanjutan waktu operasi sempena penganjuran Melaka Bila Larut Malam.

“MBMB menyahut saranan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh agar membenarkan dan menarik lebih ramai peniaga untuk bersama-sama menjadi sebahagian ekosistem ekonomi setempat,” katanya.

Shadan berkata, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan, MBMB juga giat menceriakan suasana sekitar lokasi terbabit dengan memasang lampu di laluan utama.

Mengulas lanjut, Shadan berkata pihaknya menyasarkan lebih 20,000 pengunjung akan membanjiri Zon Bebas Kenderaan menerusi Program Melaka Bila Larut Malam.

“Pada Sabtu lalu kita menerima lebih 15,000 pengunjung. Kita sasar lebih 20,000 akan berkunjung ke Banda Hilir pada 1 Jun nanti.

“Apatah lagi sekarang musim cuti sekolah, pada waktu siang mungkin ada ibu bapa bekerja tidak dapat bawa anak berjalan, jadi ini adalah masa yang sesuai dengan tawaran menarik dan tiket-tiket juga sangat berpatutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

96
Kongsi :
Previous post Pengurus kedai kek didakwa tipu pembelian jam tangan bernilai lebih RM300,000
Next post Aksi Unit Berkuda PDRM antara menarik pada Melaka Bila Larut Malam
Ubah saiz-+=