Sorting by

×

Program Rakan Muda akan dirancakkan di setiap daerah – Hannah

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BANDA HILIR 25 Mei – Penambahan dana berjumlah RM3 juta yang diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 akan merancakkan lagi pelaksanaan program Rakan Muda di seluruh pelusuk daerah di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dengan pelaksanaan program dan aktiviti untuk belia serta anak muda ia akan dapat memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional.

Katanya, dana tambahan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan diselaraskan oleh KBS bersama-sama dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi penganjuran program yang akan dirancang.

“Paling penting adalah Perdana Menteri telah umumkan tambahan dana RM3 juta untuk KBS melaksanakan program Rakan Muda dan kita akan bekerjasama dengan MBM untuk pastikan program ini dirancakkan di semua daerah.

“KBS akan selaraskan dengan MBM untuk memastikan mereka mempunyai dana tambahan bagi melaksanakan program Rakan Muda dan ia secara tidak langsung dapat memastikan MBM terbabit secara terus dalam penganjuran bukan hanya sebagai pemerhati,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pemimpin-pemimpin Kanan Kerajaan Persekutuan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dan lain-lain kenamaan.

Menurut Hannah, penganjuran HBN 2024 adalah kerjasama kali kedua pihaknya bersama MBM dan sejumlah RM5 juta diperuntukkan Kerajaan Madani bagi merealisasikan sambutan di seluruh negara.

“Menerusi peruntukan itu ia meliputi sebanyak 3,107 aktiviti antaranya Bacaan Ikrar Belia Malaysia, Konvensyen Belia Integriti Nasional dan sambutan HBN di peringkat negeri dengan penyertaan seramai 2.5 juta peserta.

“Tema Yakin Boleh yang diangkat pada sambutan HBN pada tahun ini bukanlah laungan kosong semata-mata sebaliknya ia diterapkan melalui pelbagai program untuk melahirkan golongan belia yang berkeyakinan tinggi dan diharap pengisian HBN2024 dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan belia,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan turut menyalurkan RM5 juta kepada MBM sebagai bantuan pentadbiran dan RM2 juta (daripada peruntukan Rakan Muda) untuk melaksanakan Rakan Muda diperingkat akar umbi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

144
Kongsi :
Previous post MADANI, visi nasional bentuk bangsa Malaysia
Next post Remaja maut digilis bas
Ubah saiz-+=