300,000 belia tunjang pembangunan Melaka
BANDA HILIR 25 Mei – Seramai 300,000 belia di Negeri Melaka mempunyai peranan besar dalam mencorak dan mewarisi tadbir urus negeri dan negara pada masa akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, anak muda yang ada sekarang juga dianggap sebagai tunjang utama kepada pembangunan negeri.
Jelas beliau, dengan populasi golongan belia yang besar ini, Kerajaan Negeri optimis, tema ‘Yakin Boleh!’ yang diangkat amat bertepatan dan mampu memacu hala tuju pembangunan negara.
“Anak-anak belia perlu menerapkan prinsip ‘yakin boleh’ dalam memenuhi aspirasi negara memandangkan golongan ini adalah aset yang amat bernilai dan perlu digilap potensinya agar mereka dapat membawa perubahan positif kepada kesejahteraan sosioekonomi negara.
“Kewujudan era dunia baharu yang maju dengan teknologi digital mewujudkan pelbagai cabaran dan rintangan kepada masyarakat khususnya golongan belia.
“Saya yakin, cabaran inilah yang akan mematangkan pemikiran anak-anak muda dan menjadi penanda aras dalam menonjolkan bakat kepimpinan dan kompetensi diri mereka untuk mewarisi tadbir urus negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara 2024 (HBN2024) Peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan di Banda Hilir, hari ini.
Sambutan itu dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut merasmikan HBN2024.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pemimpin-pemimpin Kanan Kerajaan Persekutuan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.
Turut bersama, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dan belia-belia seluruh negara.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyeru seluruh anak muda di negeri ini agar dapat bersama-sama menyumbang kebijaksanaan dan keberanian bagi merealisasikan hasrat kerajaan.
“Ini sejajar dengan sifat keperibadian pahlawan tersohor Melaka yang serba hebat seperti mana slogan Melaka ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.