Bila Larut Malam: Menara Taming Sari janjikan kelainan
AYER KEROH 25 Mei – Menara Taming Sari Berhad (MTSB) merangka beberapa program menarik khusus untuk pengunjung bagi memeriahkan pelaksanaan aktiviti Bila Larut Malam yang akan bermula 1 Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MTSB Nasrul Ahmad berkata, selain persembahan tarian tradisional turut akan berlangsung di perkarangan menara ikonik itu adalah persembahan kumpulan pemuzik jalanan atau ‘buskers’ yang akan diiringi penari retro.
“Sebelum ini kita sudah adakan persembahan tarian tradisional ini untuk meraikan pengunjung Menara Taming Sari dan untuk Bila Larut Malam ini ia akan diteruskan yang akan membabitkan bukan sahaja penari dari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Melaka tetapi juga kumpulan penari dari beberapa buah sekolah.
“Bagi memeriahkan lagi inisiatif itu, pengunjung akan dihiburkan dengan nyanyian kumpulan ‘buskers’, jadi sementara menunggu giliran untuk naik, mereka dapat mengisi masa menyaksikan persembahan.
“Selain itu, kita juga kini dalam perbincangan bersama pihak Ghost Museum Melaka untuk membuka sebuah rumah hantu mini di perkarangan Menara Taming Sari jika ia bersesuaian namun beberapa aspek perlu diambil kira sebelum diputuskan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Nasrul, bagi memastikan pelaksanaan Bila Larut Malam di Menara Taming Sari berjalan dengan lancar, persiapan rapi sudah dilakukan bagi memastikan pengunjung dapat merasai pengalaman atau suasana yang lebih menarik.
“Semua persiapan termasuk daripada segi teknikal kita sudah perhalusi, selain kita sudah bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.
“Malah dari segi penjadualan kakitangan bertugas juga kita sudah siapkan dengan menentukan waktu bekerja mereka.
“Meskipun waktu dilanjutkan sehingga jam 2 pagi namun operasi Menara Taming Sari berjalan seperti hari biasa dan kita di pihak Menara Taming Sari akan pastikan tiada kesesakan berlaku pada hari berkenaan kerana dijangka orang ramai akan mengambil peluang ini untuk melihat suasana lewat malam dari ketinggian 80 meter,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.