Sorting by

×

Pentingnya ‘perbualan meja makan’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Institusi kekeluargaan masa kini berdepan cabaran getir apabila wujudnya gajet dan teknologi serba canggih yang dilihat semakin menjarakkan hubungan di antara ibu bapa dan anak.

Jika tidak dikawal ia mungkin boleh menjadi barah yang akan meruntuhkan institusi kekeluargaan masa kini.

Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, dalam mendepani cabaran tersebut, golongan ibu bapa, khususnya mereka yang bekerja perlu mencari waktu untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Kata beliau, antara waktu terbaik untuk bersama keluarga ialah ketika duduk bersama pada waktu makan.

“Saya juga seperti wanita dan ibu bapa di luar sana yang ada kerjaya, namun satu perkara yang penting ialah disiplin dalam keluarga.

“Walau sesibuk manapun kita, waktu bersama keluarga jangan sesekali di abai yang mana bagi saya waktu terbaik ialah waktu bersama di meja makan.

“Itulah waktu terbaik untuk kita bertanya anak-anak mengenai apa yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka yang mana ia sedikit sebanyak dapat memperkukuh ‘bonding dalam keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam Podcast Melaka Hari Ini ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di Studio Melaka TV.

Menurut Kalsom, anak-anak masa kini walaupun lebih kehadapan dari sudut teknologi, namun mereka tetap memerlukan bimbingan dan sentuhan mesra dalam keluarga.

Oleh itu, beliau berharap setiap ibu bapa dapat mencari masa yang bersesuaian demi mengeratkan lagi hubungan dengan anak-anak.

“Tidak dinafikan ada (ibu bapa) akan menyalahkan masa, tetapi sebenarnya, kitalah yang perlu bijak menguruskan masa tidak kiralah sama ada pagi, petang atau malam,” ujarnya.

**Video penuh Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ boleh ditonton di Facebook Melaka Hari Ini dan Youtube Melaka TV pada hari Sabtu (25 Mei), jam 9 malam 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

125
Kongsi :
Previous post Insiden Balai Polis Ulu Tiram: Lima sekeluarga ditahan semula di bawah SOSMA
Next post HBN2024 dorong belia cungkil potensi diri
Ubah saiz-+=