Sorting by

×

40 aset Sultan Ibrahim dipamerkan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Kira-kira 40 koleksi aset peribadi milik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dijangka akan dipamerkan bersempena penganjuran Melaka Bike Week 2024.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pameran yang akan berlangsung pada 14 hingga 16 Jun depan itu akan memberi peluang kepada rakyat untuk melihat dengan lebih dekat aset milik Seri Paduka Baginda.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita berbesar hati dengan perkenan ini. Bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) ini kita ada satu program iaitu mempamerkan aset milik Yang di-Pertuan Agong untuk kita pamerkan bukan sahaja kepada penduduk tetapi pengunjung dan juga pelancong.

“Ini adalah ihsan daripada Tuanku Sultan dan saya difahamkan tidak kurang daripada 40 aset Sultan Ibrahim akan dipamerkan selama tiga hari di dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan tapak bersempena Penganjuran Pameran Aset Tuanku 2024, di MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MITC Datuk Arif Shah Abdullah Sani.

Menurut Abdul Razak, selain pameran aset milik Sultan Ibrahim turut berlangsung pada hari sama adalah penganjuran Melaka Bike Week 2024, pameran penemuan baharu tentang Hang Tuah dan juga persembahan teater Hang Tuah.

“Kesemua program ini akan berlangsung di MITC pada hari yang sama dan untuk itu kita jangkakan lebih 200,000 pengunjung akan hadir membanjiri MITC untuk menyaksikan penganjuran ini selain pada sebelah malam pula akan berlangsung teater Hang Tuah di Encore Melaka.

“Penganjuran ini antara inisiatif yang disusun atur oleh Kerajaan Negeri dalam memeriahkan dan menarik lebih ramai pengunjung serta pelancong ke Melaka besempena TMM2024.

“Justeru itu saya menyeru dan menjemput pelancong untuk ke Melaka kerana pada bulan hadapan kita ada banyak program yang menarik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post Guru JAIM perlu manfaatkan teknologi didik akidah murid – KM
Next post Kerajaan laksana penyasaran subsidi diesel libatkan pengguna di Semenanjung – PM
Ubah saiz-+=