Sorting by

×

Amanat perkasa MAIM, JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 20 Mei – Enam perkara penting digariskan untuk kakitangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Majlis Amanat Khas Ketua Menteri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata enam perkara tersebut merangkumi tambah baik aspek pengurusan sumber manusia dan memupuk nilai etika yang cemerlang.

Selain itu beliau, turut menggalakkan budaya pembelajaran berterusan dalam perkhidmatan; memperkukuh kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan; kekerapan pemantauan prestasi perkhidmatan pegawai dan kakitangan serta mengutamakan aspek penilaian terhadap ketelusan pengurusan.

“Dua organisasi ini perlu bergerak seiring bagi memastikan matlamat dan fungsi entiti agama Islam Melaka ini tercapai dengan jayanya.

“Kerajaan Negeri Melaka sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada kakitangan MAIM dan JAIM selaku tulang belakang agensi pentadbir agama Islam. Mereka banyak menyumbang jasa dan khidmat bakti dalam aspek kebajikan di Negeri Melaka,” kata Ketua Menteri ketika berucap menyampaikan amanat beliau.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman bersama timbalannya, Rosli Abdullah.

Lebih 500 kakitangan MAIM dan JAIM hadir bagi mendengar amanat khas disampaikan Ketua Menteri pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata majlis amanat tersebut bertujuan bagi menjelaskan hala tuju MAIM dan JAIM seterusnya menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Kedua-dua agensi ini memainkan peranan utama yang besar dalam kehidupan umat Islam di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

414
Kongsi :
Previous post Tiada lagi debaran khemah diterbangkan angin
Next post MPHTJ naik taraf Kompleks Tenis MITC
Ubah saiz-+=