72 atlet cilik berentap pada Kejohanan ROG Tenis Peringkat Wilayah Zon Selatan
AYER KEROH 20 Mei – Seramai 72 atlet berusia bawah 10 tahun menyertai Kejohanan Zon ROG Red (merah)-Orange(oren)-Green(hijau) Peringkat Wilayah anjuran Persatuan Lawn Tenis Melaka (MLTA) berlangsung di Kompleks Tenis, di sini, semalam.
Presiden MLTA, Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim berkata program yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu menyaksikan enam kategori dipertandingkan.
Katanya, seramai 24 atlet cilik dari setiap negeri Zon Selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah berentap untuk mendapat kedudukan tiga terbaik setiap kategori sebelum layak ke peringkat seterusnya.
Menurutnya kejohanan mempertandingkan kategori Lelaki Bawah 8 tahun; Perempuan Bawah 8 tahun; Lelaki Bawah 9 tahun; Perempuan Bawah 9 tahun; Lelaki 10 tahun dan kebawah serta Perempuan 10 tahun dan kebawah.
“Kejohanan ini adalah peringkat pertama sebelum ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada Jun depan.
“Lima zon yang akan berentap pada Peringkat Kebangsaan dimana setiap zon perlu membuat saringan menerusi kejohanan seumpama ini. Zon Selatan merupakan kejohanan pertama diadakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Shahrul Hafidz berkata menerusi program pembangunan bakat muda yang diperkenalkan diperingkat induk, Melaka berjaya menghantar empat atlet ke Peringkat Kebangsaan.
Jelasnya, empat atlet tersebut akan bertanding menerusi tiga kategori iaitu dua atlet bertanding Kategori Perempuan 10 tahun dan kebawah manakala dua atlet lelaki akan bertanding kategori Lelaki Bawah 9 tahun dan Lelaki Bawah 8 tahun.
“Alhamdulillah, kita melihat perkembangan positif sukan tenis di Melaka ini, semakin ramai yang meminati dan fokus MLTA adalah nak melahirkan lebih ramai atlet tenis dari akar umbi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.