Segerakan pembinaan tapak pelupusan khas sisa pepejal ICI

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PAYA RUMPUT 19 Mei – Kerajaan Negeri Melaka akan segera memohon pembinaan tapak pelupusan khas sisa pepejal bagi sektor pembinaan dan komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, beliau telah berbincang dengan menteri berkaitan bagi pembinaan terbabit.

Katanya, pembinaan itu perlu disegerakan kerana keperluannya yang sangat mendesak ketika ini bagi mengatasi masalah sampah di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang.

“Keperluan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal bagi sektor ICI sangat mendesak kerana kira-kira 30 hingga 40 peratus daripada keseluruhan jumlah sisa pepejal yang dibuang ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang setiap hari adalah sisa ICI.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkaitan tapak pelupusan ICI ini dan kita akan hantar satu permohonan rasmi untuk memohon pembinaan tapak pelupusan khas berkenaan.

“Ia kerana ketika ini, situasi di Sungai Udang berada pada tahap kritikal,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI Daerah Melaka Tengah di Surau Al-Falah, Taman Krubong Jaya, di sini hari ini.

Pada program tersebut lebih 100 komuniti setempat turut mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang diadakan termasuklah karnival jualan.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, pembukaan ICI tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memerlukan kebenaran daripada KPKT.

“Pembinaan tapak pelupusan sisa ICI akan dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), namun cadangan lokasi dan anggaran kos masih belum dimuktamadkan.

“Keperluan pembinaan tapak pelupusan khas ini sangat mustahak demi kesejahteraan rakyat selain menyediakan sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik dan baik di negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post Anggota MALBATT meninggal dunia di Lubnan
Next post Peruntukan RM22.31 juta fokus bina RMR baharu
Ubah saiz-+=