Pembinaan litar RC antarabangsa Tanjung Bidara bermula November
LENDU 19 Mei – Pembinaan litar sukan kereta kawalan jauh (RC) bertaraf antarabangsa di pantai peranginan Tanjung Bidara dijangka dimulakan November ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan kemudahan itu dijangka mengambil masa 18 bulan dan apabila siap kelak bakal menjadikan Masjid Tanah sebagai hab utama dan lokasi pertama di Melaka yang memiliki litar RC bertaraf antarabangsa.
Menurutnya, litar di tapak seluas 1.011 hektar itu juga dibina mengikut standard dan piawaian perlumbaan antarabangsa.
“Perkara ini telah diusahakan sejak tahun lalu, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) telah mengenal pasti lokasi yang bersesuaian. Setelah kajian dilaksanakan kita sekarang sedang menunggu peruntukan yang telah diluluskan sebanyak RM300,000 bagi membina litar ini.
“Apabila siap kelak kita yakin litar ini akan menjadi satu tarikan baharu untuk menggamit kunjungan lebih ramai pelancong domestik ke Masjid Tanah pada masa akan datang,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Kereta Kawalan Jauh Piala Ketua Menteri Melaka Ke-13 di Kompleks Sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Masjid Tanah, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JBS Melaka, Khairul Adri Rosli serta tetamu lain.
Terdahulu, seramai 80 peserta seluruh negara berhimpun di Masjid Tanah bagi mengambil bahagian dalam pertandingan dianjurkan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pembinaan litar berkenaan juga mampu menjadikan Tanjung Bidara sebagai destinasi peranginan pilihan ramai, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.
Menurutnya, selain litar lumba RC turut akan dibina adalah tapak karavan atau campervan (van perkhemahan).
“Malah, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk menaik taraf kemudahan yang ada di kawasan berkenaan termasuk gerai-gerai supaya lebih menarik dan cantik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.