Balai bomba seluruh negara berkawal 24 jam elak insiden serangan
BANDA HILIR 19 Mei – Semua balai bomba di negara ini akan membuat kawalan 24 jam bagi mengelakkan insiden serangan seperti yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram sehingga mengorbankan dua anggota.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, pihaknya akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Apa jua SOP yang dikeluarkan akan kita patuhi dan laksanakan dengan sempurna.
“Saya mendoakan agar ‘Wira Merah’ kita yang banyak berjasa terus diberi penghargaan daripada masyarakat dan berharap tiada insiden tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Larian Bersama Bomba 2024 Malaysia Madani di perkarangan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Wira M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.
Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.