‘Hadiah’ besarkan enam anak
TANJUNG BIDARA 17 Mei – “Alhamdulillah sudah tertulis ini rezeki yang dikurniakan Allah SWT. Bagi saya ini adalah ‘hadiah’ membesarkan enam anak selepas suami pergi meninggalkan kami sekeluarga.
“Terasa sangat gembira kerana akan terbang ke tanah suci pada 26 Mei ini selepas 14 tahun menunggu giliran, walaupun tanpa ditemani suami,” kata bakal jemaah haji Masrisah Md Sari, 58.
Masrisah berkata, menjadi idamannya untuk menunaikan rukun Islam kelima itu bersama-sama arwah suaminya dan mereka mendaftar bersama Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2009.
Namun, wanita ini diuji apabila suaminya meninggal dunia menyebabkan dia terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan enam anak seorang diri.
“Mujur juga ada peninggalan pencen arwah suami, menggunakan wang itu saya besarkan enam anak. Alhamdulillah, urusan saya untuk menunaikan haji juga umpama dipermudahkan kerana semua anak-anak sudah besar dan habis belajar.
“Anak yang bongsu sekarang berusia 17 tahun sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi tidak perlu risau hal pendidikan anak-anak sepanjang saya berada di tanah suci nanti. Lebih beruntung kerana saya dikurniakan kesihatan yang masih baik meskipun sudah berumur,” katanya ketika ditemui di Japerun Tanjung Bidara, Masjid Tanah, hari ini.
Terdahulu Masrisah antara 11 bakal jemaah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang diraikan ketua Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Pada majlis ringkas itu Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, turut menyampaikan sumbangan kepada 11 bakal haji dan hajah diraikan.
Katanya, dia kini melakukan persiapan akhir termasuk memeriksa semula semua barangan keperluan sepanjang di tanah suci nanti selain menyemak semula hal-hal berkaitan rukun dan kaedah bagi menunaikan ibadah itu.
“Terima kasih juga kepada Ketua Menteri yang sudi meraikan kami bakal haji dan hajah, pesanan disampaikan oleh beliau insya-Allah akan sentiasa dalam ingatan saya kerana ia amat berguna,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.