‘Ngomong Jowo’ serlah identiti, hidupkan tradisi

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER MOLEK 17 Mei – “Biarpun bertutur dalam bahasa Jawa ini bukan perkara wajib, namun ia boleh menghidupkan kembali identiti dan tradisi masyarakat Jawa yang masih ada di negeri ini,” kata Aminah Ramli,66.

Ibu kepada enam anak ini berkata, inisiatif menggalakkan untuk bertutur dalam bahasa ibundanya itu pada setiap Jumaat mampu mengekalkan tradisi masyarakat keturunan Jawa di Melaka.

Aminah berkata, saranan itu dianggap sebagai satu inisiatif amat baik, sekali gus memastikan penutur bahasa Jawa kekal sepanjang zaman dan diwarisi daripada generasi ke generasi.

“Enam anak saya cuma faham perbualan atau apa yang saya ucapkan dalam bahasa Jawa, tetapi ada dalam kalangan mereka tidak boleh membalas balik bila ditanya.

“Jadi eloklah perkara seperti ini kita perkasa, kita martabatkan semula agar generasi akan datang tidak kekok berbicara dalam bahasa ibunda mereka sendiri,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya di Kampung Bukit Durian di sini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman, mencadangkan agar setiap Jumaat dijadikan hari bertutur dalam bahasa Jawa atau hari ‘Ngomong Jowo’ bagi Kampung Paya Dalam.

Menurutnya, bahasa Jawa dituturkan di Melaka lebih mudah berbanding negeri lain seperti Selangor atau Johor.

“Jika di Melaka cakap Jawa lebih mudah kerana tidak asli seperti di Johor dan Selangor, intonasi atau bunyi percakapannya lebih senang untuk difahami,” katanya.

Sementara itu Noridah Astar, 69, amat tertarik dengan cadangan itu kerana dia pasti akan menuturkan bahasa Jawa dalam aktiviti seharian termasuk ketika berjumpa rakan lama.

“Bagus amalkan semula bercakap Jawa setiap hari Jumaat, kalau boleh hidupkan semula tradisi ini, macam saya kalau berjumpa kawan-kawan lama memang akan ngomong Jowo.

“Saya memang tidak pernah lupa cakap Jawa, cumanya generasi hari ini ada yang sudah tidak tahu bercakap dalam bahasa ini, tetapi mereka masih faham apa yang kita sampaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post MPJ sasar baik pulih 35 rumah daif
Next post Dua anggota polis maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram
Ubah saiz-+=