Sorting by

×

Kuih jemput-jemput, lempeng ganti nasi

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

DURIAN TUNGGAL 16 Mei – Pada waktu terdesak dia hanya menjamah lempeng atau kuih jemput-jemput untuk mengalas perut semata-mata mahu berjimat dan memastikan wang simpanan cukup bagi menampung perbelanjaan empat anaknya berusia tujuh hingga 18 tahun kini masih bersekolah.

Itulah antara pengorbanan Mohd Nazsha Md Said, 40, bapa kepada enam orang anak yang menetap di Taman Cempaka, Durian Tunggal.

Tidak cukup dihimpit kedaifan, Mohd Nazsha terus diuji apabila isterinya Lizawati Idris, 39, diserang angin ahmar selepas melahirkan anak bongsu mereka dua tahun lalu.

“Apa juga dugaan atau kesusahan saya tetap utamakan pendidikan anak-anak terutama anak kedua kini belajar di Kolej Vokasional Jasin.

“Bagi saya, kesempitan kami rasai sekarang adalah sebahagian daripada dugaan hidup dan sentiasa bertawakal kepada Allah SWT,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu Mohd Nazsha dan Lizawati menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil yang turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu.

Lawatan itu bertujuan bertanya khabar Lizawati dan melihat keadaan anak pasangan itu yang mengalami kecederaan ketika terbabit dalam aktiviti sukan.

Mohd Nazsha bekerja sebagai tukang rumah menerima upah harian RM100, namun jumlah itu tidak cukup bagi menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.

Jelasnya, bayaran itu tidak tetap kerana bergantung kepada permintaan dan keperluan kontraktor yang menjalankan perkhidmatan membina atau membaiki rumah.

“Bukan setiap hari ada orang panggil bekerja, kadang-kadang tidak ada langsung, selain itu pada hari tertentu saya terpaksa tolak kerana perlu hantar isteri untuk rawatan susulan di hospital.

“Ketika sihat isteri banyak membantu, hasil jualan kuih dibuat sedikit sebanyak meringankan beban saya, sekarang ini saya menjadi tulang belakang utama keluarga,” katanya.

Sementara itu Lizawati berkata, mereka sekeluarga amat bergantung kepada bantuan makanan dan wang tunai bulanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Menurutnya, selain keperluan asas dia juga perlu mengusahakan wang bagi membayar sewa rumah RM500 sebulan selain susu dan lampin pakai buang untuk anak bongsunya.

“Kerap juga kami terputus bekalan makanan, tetapi mujur anak-anak memahami, mereka tidak banyak kerenah setiap kali dihidangkan lempeng atau sekadar nasi berlaukkan telur.

“Pendapatan suami tidak tetap hingga menyebabkan sewa rumah kami pernah tertunggak sampai tiga bulan. Selagi kami boleh berusaha selagi itu kami tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

200
Kongsi :
Previous post MPJ kenal pasti pokok berbahaya, berisiko
Next post MPHTJ tingkat tahap keindahan landskap, pencahayaan
Ubah saiz-+=