Sorting by

×

MPHTJ ambil langkah proaktif cantas, tebang pokok berisiko

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 15 Mei – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sudah melakukan tindakan awal bagi kerja-kerja cantasan dan penebangan pokok-pokok yang dipercayai membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, kerja-kerja tersebut dilakukan secara berkala sejak mula dilaksanakan tahun lalu dengan lantikan lima kontraktor.

Menurut beliau, sehingga kini MPHTJ masih menjalankan kerja-kerja cantasan dan penebangan pokok yang dipercayai sudah berusia lebih 30 ke 40 tahun.

“MPHTJ ambil maklum saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengenai isu pokok-pokok tepi jalan yang perlu diberi perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tindakan telah diambil sejak tahun lalu, yang mana pokok-pokok yang berusia lebih 30 tahun sudah rosak kerana anai-anai dan struktur pokok itu menjadi tidak kukuh dan boleh membahayakan pengguna jalan raya telah ditebang sebagai contoh pokok sena di hadapan Zoo Melaka yang telah ditebang.

“Manakala pokok-pokok yang berusia namun strukturnya masih kukuh dan tidak membahayakan pengguna, kita hanya cantas, sebagai contoh di sekitar kawasan Batu Berendam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata untuk rekod pada tahun lalu, sebanyak 207 pokok telah ditebang dan dicantas pada Januari, diikuti Februari (197 pokok); Mac (255 pokok); April (244 pokok); Mei (413 pokok); Jun (356 pokok); Julai (421 pokok); Ogos (394 pokok); September (367 pokok); Oktober (473 pokok); November (525 pokok) dan Disember (481 pokok).

Manakala, pada tahun ini sebanyak 367 pokok telah ditebang dan dicantas pada Februari, sementara pada Februari melibatkan 283 pokok.

“Kesemua kerja-kerja cantasan dan penebangan pokok itu membabitkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Ayer Keroh; Bukit Katil; Bemban; Kesidang; Durian Tunggal dan Pengkalan Batu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

487
Kongsi :
Previous post China sumbang kerancakan jumlah ketibaan pelancong ke Melaka
Next post Rezeki jual hadiah Hari Guru serendah RM1
Ubah saiz-+=