500 hadiri ceramah integriti MPHTJ
AYER KEROH 14 Mei – Ceramah Perdana Integriti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berlangsung meriah apabila dihadiri lebih 500 tetamu yang bukan sahaja dalam kalangan warga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu tetapi juga wakil beberapa agensi kerajaan lain.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, ceramah itu adalah bersempena minggu integriti dan ianya juga antara langkah untuk memperkasakan warga kerja MPHTJ dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Ceramah bertajuk Keseimbangan Hidup Antara Kesibukan Bekerja dan Kepentingan Keluarga ini diadakan untuk kita bersama-sama mengimbas kembali apa kesilapan yang telah dibuat dan secara tidak langsung ia dapat membantu memperbaiki diri.
“Ia juga bertujuan untuk memperkasakan lagi warga mutu kerja MPHTJ apabila tahu dan faham apa itu inrtegriti dalam menjalankan tugas serta amanah diberikan.
“Sebab kadang kala kita terlupa, justeru menerusi ceramah ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kembali prestasi kerja,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Integriti MPHTJ bertajuk Keseimbangan Hidup Antara Kesibukan Bekerja dan Kepentingan Keluarga disampaikan penceramah terkenal Ustaz Syamsul Debat, di Pentas Melaka Mall, hari ini.
Menurut Sapiah, meskipun ianya berlangsung dalam suasana santai namun perkongsian yang disampaikan penceramah mengandungi nasihat dan peringatan untuk setiap daripada tetamu agar saling mengamalkan sikap kerjasama serta menjauhi perasaan dengki antara satu sama lain.
“Menerusi ceramah ini sebenarnya banyak yang dikongsikan untuk kita menjadi pekerja yang amanah dan berintegriti termasuk menjauhi sikap dengki, ini adalah sikaf negatif yang tidak seharusnya ada.
“Penganjuran ini adalah yang pertama dan kita jangka selepas ini akan diadakan setahun dua kali, untuk tahun ini satu siri lagi akan diadakan pada hujung tahun nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.