Ramai mengeluh harga bawang naik mendadak
PENGKALAN BATU 23 Nov. – Kenaikan mendadak harga bawang India sejak akhir-akhir ini menimbulkan keluhan bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga peniaga.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Pasar Besar Melaka, di sini mendapati harga bawang India kini naik mendadak kepada RM8.00 hingga RM9.00 sekilogram dan difahamkan ia naik lebih sekali ganda berbanding harga sebelum ini.
Seorang peniaga, Mohd Nazri Mohamad Noor, 42 berkata, kenaikan harga itu dikesan sejak dua minggu yang lalu dan itu membuatkan para pelanggannya mengeluh.
Jelasnya, harga yang terlalu tinggi itu nyata membebankan para pengguna, tambahan lagi pada musim pandemik COVID-19 yang melanda negara hingga membuatkan ada yang kehilangan pekerjaan.
“Situasi sekarang bawang ini harga dia melampau, terlalu tinggi dan tak munasabah. Bagi golongan susah memang terkesan sangatlah sebab dulu harga bawang dalam RM3 lebih sekilogram, tetapi sekarang naik sampai RM8 hingga RM9 sekilogram.
“Jangan kata pengguna, kita sebagai peniaga pun terkesan juga sebab bila harga barang naik, keuntungan yang kami dapat juga terlalu sedikit.
“Kita sendiri tidak tahu siapa yang main peranan dalam kenaikan harga yang mendadak dan kita berharap pihak berwajib dapat turun dan pantau dari mana bawang India ini boleh naik harga,” katanya ketika ditemui MHI.
Turut senada, seorang lagi peniaga, Awah Sait yang menyifatkan pendapatannya sebagai peniaga terkesan apabila harga bawang India naik mendadak.
Jelasnya, dilema peniaga masa kini bukan sahaja membabitkan permainan harga, bahkan ia diburukkan lagi dengan bawang yang diterima tidak tahan lama dan cepat busuk.
“Untung kita berapa sen je boleh dapat. Paling tidak pun adalah 30 sen untung. Kadang-kadang kita tidak dapat balik modal kerana terpaksa jual bawang dengan harga yang lebih rendah daripada harga datang kerana risau ia tidak boleh dijual apabila sudah busuk.
“Akak yang sudah lama berniaga pun kadang-kadang rasa macam sudah mahu putus asa. Kadang-kadang rasa tak payah berniaga pun tak apalah. Sebab bosan sangat menunggu tetapi pelanggan tiada,” ujarnya.
Sementara itu, bagi pengguna Norhaniza Saaba, 44 sebagai penerima bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), dia mengakui sangat terkesan apabila berlakunya kenaikan mendadak harga bawang dan beberapa barang kering yang lain.
Jelasnya, disebabkan kenaikan harga itu, bantuan barangan berjumlah RM200 yang diterimanya setiap bulan kini semakin berkurangan dan adakalanya terpaksa menambah wang sendiri untuk barangan yang dibeli.
“Dahulu harga bawang tidaklah macam ini, sekarang terlalu tinggi. Sebagai penerima bantuan MAIM bila harga harga terlampau tinggi memang kami terasa.
“Kadang-kadang kami terpaksa kurangkan bilangan bawang yang dibeli untuk menampung pembelian barang-barang lain. Jadi saya berharap kenaikan harga ini dapat dipantau agar dapat membantu kehidupan rakyat seperti kami yang bukannya dari keluarga senang,” katanya.