Sekolah agama daerah Alor Gajah kekal cemerlang

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BANDA HILIR 14 Mei – Sebanyak tujuh sekolah agama dalam Daerah Alor Gajah menerima pelbagai pengiktirafan pada Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), Syahadah Ibtidaiah Arabiah (SIA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023.

Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al Faizin merangkul empat penganugerahan utama iaitu Anugerah Sekolah Terbaik Negeri bagi Peperiksaan SIA Tahun 2023, Anugerah Sekolah Terbaik Gred Purata Sekolah (GPS) UPKK Tahun 2023 (Kategori Sekolah Rendah Arab JAIM) dan Anugerah Sekolah Terbaik Peratus 8A UPKK Tahun 2023 (Kategori Sekolah Rendah Arab JAIM).

Pada penganugerahan berkenaan, dua murid dari sekolah sama turut menerima penganugerahan utama iaitu Anugerah Pelajar Terbaik Negeri Peperiksaan SIA Tahun 2023 dimana bagi kategori lelaki disandang oleh Muhammad Nazril Mohd Azmi manakala perempuan oleh Nur Iman Wafirah Mohamad Khairol.

Sementara itu Sekolah Menengah Arab JAIM Al-Asyraf menerima dua penganugerahan iaitu Anugerah Sekolah Terbaik STAM Tahun 2023 selain dua pelajarnya iaitu Ariff Fahmi Rosli dan Nur Sumiyyah Sazalie menerima Anugerah Pelajar Terbaik Negeri (Mumtaz) STAM bagi kategori lelaki dan perempuan.

Manakala Sekolah Rendah Agama (SRA) (JAIM) Jelatang merangkul Anugerah Sekolah Terbaik GPS UPKK Tahun 2023, selain pengiktirafan Gred A pada penganjuran berkenaan.

Selain itu SRA JAIM Al Ikhlas turut menerima pengiktirafan Gred A bagi Kategori SRA JAIM dalam Anugerah Sekolah Terbaik Peratus 8A UPKK Tahun 2023.

Malah dua murid dalam Daerah Alor Gajah juga menerima pengiktirafan Anugerah Nilam UPKK Tahun 2023 disandang oleh Irfan Hafizh Ishak dari SRA JAIM Kelemak dan Nur Amani Batrisyia Azman dari SRA JAIM Kampung Pulau.

Disamping itu, Anugerah Pelajar Terbaik Negeri Melaka UPKK Tahun 2023 disandang oleh Adam Nurfirdaus Muhamad Shahrulnizam dari SRA JAIM Paya Rumput bagi kategori lelaki manakala kategori perempuan oleh Khairunnisa Fazly dari SRA JAIM Al-Ikhlas.

Terdahulu, kesemua 103 pelajar cemerlang telah menerima pengiktirafan berkenaan disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dalam program diadakan di sebuah hotel di Banda Hilir.

Hadir sama, Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulazlee Mohamad; Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Hazarudin Badarudin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Abd Khawi Che Abd Rahman serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1327
Kongsi :
Previous post Perzim wakili Zon Selatan Festival Hari Muzium Antarabangsa
Next post 500 hadiri ceramah integriti MPHTJ
Ubah saiz-+=