KPDNHEP Melaka nafi berlaku kes sorok bawang

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PENGKALAN BATU 23 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Melaka menafikan berlakunya kejadian sorok bawang yang membawa kepada kenaikan melambung harga bawang India di negeri ini.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, kenaikan harga bawang India itu berpunca daripada kekurangan bekalan ekoran kejadian banjir yang berlaku di India.

Bagaimanapun, menurutnya, pengguna tidak perlu panik kerana masih terdapat banyak bawang yang diimport dari negara lain boleh dibeli dengan harga yang jauh lebih rendah.

“Kita tahu ramai rakyat Malaysia menggemari bawang India kerana lebih manis dan wangi untuk masakan. Tetapi kita di pihak KPDNHEP mohon agar pengguna bertenang.

“Gunakanlah bawang dari negara lain kerana kita juga mengimport bawang dari Thailand, Pakistan, China, Myanmar dan Indonesia yang harganya jauh lebih murah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Norena, bawang India kini tidak termasuk dalam senarai harga kawalan melainkan ketika musim perayaan sahaja.

Bagaimanapun beliau memberi amaran kepada peniaga dan peruncit untuk tidak mengambil kesempatan dengan menekan pengguna dengan harga jualan yang melampau.

“Jika kita dapati ada peniaga yang meletakkan harga melampau, kita akan ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan harga bawang india adalah berikutan permintaan yang tinggi dari pengguna di sebalik kekurangan bekalan.

Beliau berkata bagi menangani masalah tersebut, Kerajaan Malaysia kini mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai salah satu strategi yang berkesan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tidak hanya bergantung kepada sesebuah negara sahaja.

Jelasnya, kementerian akan terus menggerakkan Penguat Kuasa bagi melakukan pemeriksaan dan pemantauan berhubung perkara ini di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong dan peruncit.

“Pihak KPDNHEP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika terbukti ada kes dan akan melaksanakan harga kawalan yang dalam bidang kuasa
kementerian seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan
memerlukan,” katanya.

Views:

767
Kongsi :
Previous post Perkembangan semasa banjir daerah Melaka Tengah setakat jam 12 tengah hari
Next post Ramai mengeluh harga bawang naik mendadak
Ubah saiz-+=