Sorting by

×

Masalah disiplin remaja antara cabaran dihadapi kaum ibu

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 12 Mei 2024 – Masalah dispilin remaja adalah antara tiga cabaran utama dihadapi kaum ibu dalam mengharungi zaman moden dan pesat membangun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata dalam keadaan dunia serba moden dan pesat membangun bukan sesuatu tugas yang mudah malah memberi cabaran serta dugaan hebat kepada para ibu.

“Pelbagai cabaran dan dugaan harus ditempuhi dalam usaha membesar, mendidik dan membentuk sahsiah diri anak-anak.

“Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang dijalankan LPPKN menunjukkan masalah disiplin remaja adalah antara tiga cabaran utama yang dihadapi ibu, diikuti pendidikan anak dan perbelanjaan keperluan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Terima Kasih Ibu’ di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan majlis tersebut dan mengurniakan Anugerah Inspirasi Ibu kepada Rahamah Mohtar, 61.

Terdahulu keberangkatan Seri Paduka Baginda turut dihadiri isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri, Datin Seri Utama Zuriyah Ab Aziz serta isteri Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Nancy berkata Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) 2022 turut menunjukkan skor bagi Indikator Kualiti Masa Bersama Keluarga dan Indikator Imbangan Masa Kerja-Keluarga merosot pada tahun 2022 berbanding siri sebelumnya.

“Rata-rata ibu yang bekerja banyak menghabiskan masa mereka dengan rutin harian yang padat di mana mereka perlu bangun seawal pagi bagi menguruskan anak dan keluarga, keluar bekerja dengan purata masa lapan hingga sepuluh jam sehari, pulang ke rumah lewat petang atau awal malam dan terus menyambung tugasan sebagai seorang isteri dan ibu di rumah.

“Namun begitu, kita harus sedar bahawa tanggungjawab dalam membesarkan anak dan mengurus rumah bukanlah semata-mata tugas seorang ibu sahaja.

“Oleh itu, adalah penting bagi para suami untuk memahami dan menghargai sumbangan isteri mereka, serta turut berkongsi tanggungjawab dalam mengurus rumah tangga dan anak-anak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

85
Kongsi :
Previous post Kerjasama masyarakat bantu cegah jenayah ‘scammer’
Next post Pusat Keluarga LPPKN Melaka sasar 40,000 wanita terima pelbagai manfaat
Ubah saiz-+=