‘Kalau bukan sebab Ketua Menteri, saya hanya penjual sate di Klebang’
AYER KEROH 12 Mei – “Kalau tiada orang ini, saya mungkin tak sampai ke tahap yang ada sekarang.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang nampak bakat saya dan rancang perjalanan karier saya hingga ke tahap sekarang,” kata Yasser Fikri Abu, 34.
Yasser yang kini popular dengan lagu Senandung Anak Melaka meluahkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan pemimpin negeri yang begitu menghargai anak seni.
Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia sama sekali tidak pernah mengimpi akan berduet dengan ramai penyanyi wanita popular tanah air sehinggalah apabila lagunya dipilih menjadi lagu tema Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Populariti lagu itu mula melonjak apabila dinyanyikan bersama penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza pada malam sambutan TMM2024 dan Ambang Tahun Baharu, 31 Disember lalu.
Sehingga kini, lagu berkenaan telah dinyanyikan bersama enam penyanyi wanita popular dalam pelbagai versi pada majlis anjuran Kerajaan Negeri.
“Kalau bukan sebab Ketua Menteri, saya tidak sampai ke tahap ini. Mungkin saya hanya dikenali sebagai penyanyi lagu asli dan penjual sate di Klebang.
“Tapi, Datuk Seri Utama Ab Rauf ubah perjalanan karier saya bermula dengan duet bersama Siti Nurhaliza hinggalah dengan artis-artis lain seperti Dayang Nurfaizah, Noraniza Idris dan Azharina.
“Malah, Ketua Menteri juga mahu saya menyanyikan lagu Senandung Anak Melaka itu dengan lebih ramai artis selepas ini,” katanya ketika bersiaran di Podcast Melaka Hari Ini, ‘Mana Lagi, Melaka Ler’, di Studio Melaka TV.
Dia yang juga dikenali dengan nama Yasser Atak berkata, ibunya menjadi individu yang paling bangga apabila melihat kejayaannya dalam bidang seni.
Namun, dia sedikit terkilan kerana kejayaan itu tidak dapat disaksikan arwah bapanya yang pergi lebih awal meninggalkan mereka kerana penyakit kanser paru-paru.
“Kalau arwah ayah ada pasti dia akan lebih berbangga kerana dialah yang sanggup membawa saya pergi ke ujibakat Bintang Asli pada tahun 2008,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.