MOT tidak benarkan e-hailing guna sistem ‘bida harga’
AYER MOLEK 11 Mei – Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pernah membenarkan mana-mana penyedia aplikasi perkhidmatan pengangkutan e-hailing menggunakan sistem bidaan harga kepada penumpang.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak kementerian tidak pernah dimaklumkan mengenai sistem berkenaan.
Justeru, beliau meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyemak penggunaan sistem berkenaan yang mula digunakan pemandu e-hailing sejak akhir-akhir ini.
“Tidak, kita (MOT) tidak dimaklumkan lagi (penggunaan sistem bida harga membabitkan e-hailing) dan saya minta APAD untuk melihat perkara ini.
“Buat masa sekarang memang kita tidak benarkan apa-apa lagi,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, Digitalisasi Memacu Profesionalisme JPJ di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Tiang Dua, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pengangkutan Malaysia Dr. Nor Fuad Abd Hamid; Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Rospiagos Taha dan lain-lain kenamaan.
Difahamkan, menerusi aplikasi berkenaan, pemandu akan menawarkan harga tertentu bagi suatu jarak perjalanan dan akan dibida pelanggan sekiranya bersetuju dengan tawaran tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.