‘Dating’ sampai ke dalam sungai
AYER LIMAU 10 Mei – Pasangan kekasih nekad melarikan diri lebih 10 kilometer apabila terlihat kelibat kereta peronda polis dalam kejadian di Hutan Simpan Masjid Tanah, malam tadi.
Pasangan berkenaan yang disyaki berkhalwat bertindak memecut kereta jenis Perodua Myvi, sebelum ditemui terbabas dan masuk ke dalam sungai di Kampung Paya Lebar.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian itu berlaku ketika anggota polis yang menjalankan rondaan melalui kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah sebelum melihat kelibat kereta itu memecut laju.
Katanya, ketika tiba di Paya Lebar, kereta yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu telah terbabas sendiri hingga ke dalam sungai, sebelum dia bertindak melarikan diri dengan berenang ke seberang sungai dan meninggalkan pasangannya, iaitu wanita berusia 26 tahun di tempat kejadian.
“Anggota polis yang tiba di tempat kejadian telah membuat pemeriksaan ke atas kereta berkenaan, namun tidak menemui barang yang menyalahi undang-undang, namun pemandunya mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.
“Pasangan wanitanya ditemui selamat di dalam kereta dan tidak mengalami kecederaan sebelum dihantar ke rumah saudaranya di Telok Gong,” katanya.
Ashari berkata, berdasarkan keterangan, pasangan berkenaan baru sahaja berkenalan dan tidak mempunyai sebarang ikatan sah, selain ia merupakan janji temu pertama mereka.
Menurutnya, pihak polis juga tidak melakukan tangkapan ke atas pasangan berkenaan memandangkan mereka bukan individu yang dikehendaki.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.