Melaka tuan rumah sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan, Ahad ini
AYER KEROH 9 Mei – Melaka menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), MITC, Ayer Keroh, Ahad ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, sambutan itu bakal diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Menurutnya, sambutan bertemakan ‘Terima KASIH Ibu’ itu bakal berkonsepkan riadah kasih dengan memberi fokus kepada isu kesejahteraan mental dan emosi para ibu.
Jelas beliau, fokus itu diberi perhatian memandangkan gejala kesihatan mental seperti kelesuan upaya atau kepenatan melampau (parental burnout) sering berlaku dalam kalangan ibu alaf baharu.
“Sambutan kali ini juga menggariskan beberapa objektif seperti menghargai peranan ibu yang berkorban dalam melahir dan membesarkan anak-anak; meningkatkan kesedaran pihak-pihak selain keluarga dalam menghargai peranan para ibu serta menyemarak konsep KASIH menerusi perspektif institusi kekeluargaan.
“Selain itu, ia juga mempamerkan komitmen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam mengarus perdanakan kepentingan ibu dalam membentuk institusi kekeluargaan yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran pada segmen ‘Kokenut Shake Dulu’ di Melaka FM, semalam.
Tambah Kalsom, pelbagai program telah dirangka sepanjang sambutan itu merangkumi aktiviti ilmiah, kerohanian, kemasyarakatan, kesihatan, kesenian dan kebudayaan.
“Antara program menarik yang dibawakan ialah demonstasi warisan air tangan ibu yang menampilkan makanan pelbagai etnik di negara ini, di samping program Gegau Subuh 3.0: Doa KASIH Ibu dengan pengisian seperti Qiamullail, solat subuh berjemaah dan tazkirah.
“Turut diadakan aktiviti Senam Tari KASIH ibu dan ‘Pocket Talk’ KASIH Keluarga Ceria, selain program berbentuk terapi dan kaunseling serta pelbagai lagi program untuk seisi keluarga
“Sambutan itu juga bakal disertai 23 pempamer daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), sembilan pengusaha kendera saji, selain Jualan Rahmah yang menawarkan pelbagai barangan pada harga lebih rendah,” katanya.
Justeru, Kalsom menyeru orang ramai untuk hadir bagi memeriahkan lagi sambutan yang diadakan pada tahun ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.