12 jabatan, agensi jayakan Rumah Terbuka Aidilfitri MAIM
BUKIT BARU 9 Mei – Sebanyak 12 jabatan termasuk agensi di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berganding bahu menjayakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi MAIM 1445H/2024, berlangsung di Dataran Pusat Islam Melaka, di sini, hari ini.
Sambutan diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum dan Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.
Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Pegawai Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad serta Pengurus Baitulmal MAIM, Muhammad Hairulamin Mohd Sis.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, sambutan yang juga acara tahunan itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan agensi serta kakitangan yang sedia terjalin.
“Tahun ini kita jangkakan kehadiran antara 3,000 hingga 4,000 orang untuk bersama-sama memeriahkan sambutan.
“Sambutan ini juga dijayakan dengan kerjasama 12 jabatan serta agensi di bawah MAIM antaranya Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Mufti Negeri Melaka (JMNM), Zakat Melaka dan juga Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Menurut Rahmad, sambutan itu juga adalah medan terbaik untuk menjadikan MAIM sebagai sebuah organisasi yang terbilang kerana ia dijayakan hasil semangat kerja berpasukan tanpa mengira pangkat.
“Tanpa kerjasama semua pihak mustahil sambutan ini dapat direalisasikan. Kita dapat lihat semua berganding bahu melaksanakan apa yang ditugaskan dalam memastikan kesemua 25 juadah tradisional dapat dihidangkan kepada tetamu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.