Sorting by

×

Jangan guna media sosial untuk sebar kebencian

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 Mei – Pengguna media sosial di negeri ini diingatkan agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform memecahbelahkan perpaduan dan menyebar kebencian.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, walaupun sekadar berniat suka-suka, namun perkara seperti itu perlu dikekang dengan penglibatan semua.

Ini kerana, jelas beliau, jika tidak dibendung, tindakan seperti itu bukan sahaja boleh membawa kesan buruk kepada negara, bahkan orang lain dan diri sendiri pada masa akan datang.

“Media sosial ini ada pelbagai platform, baik Facebook, TikTok, X atau Instagram, semua ini bergantung kepada tujuan kita menggunakannya.

“Jika niat kita menggunakan untuk kebaikan, pasti kebaikan yang akan datang. Tapi saya melihat ada juga yang mengambil kesempatan untuk sekadar suka-suka mencari ruang memecahbelahkan perpaduan.

“Jadi, nasihat saya, gunakanlah platform ini sebaik-baiknya kerana kita tidak tahu apa yang akan jadi pada masa akan datang. Jangan sampai niat suka-suka itu membawa masalah besar kepada negara, diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran dalam segmen ‘Apa Khabau YB’ di Melaka FM, hari ini.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan insiden pemain bola sepak dipukul dan disimbah asid dalam dua kejadian berasingan di Terengganu dan Selangor.

Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun ada segelintir pihak berpendapat insiden tersebut berlaku disebabkan tindakan segelintir pemilik akaun media sosial menyebarkan hantaran bersifat peribadi bertujuan menimbulkan rasa benci terhadap individu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

229
Kongsi :
Previous post Lelaki didenda RM2,500 kemuka maklumat palsu kad pengenalan anak angkat
Next post 8 ‘port’ makan wajib singgah kalau datang ke Melaka
Ubah saiz-+=