Sorting by

×

Kapal layar kayu terbesar dunia berlabuh di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

PANTAI KUNDOR 1 Mei – Sebuah kapal layar kayu tradisional terbesar di dunia selamat berlabuh di Pelabuhan Tanjung Bruas, di sini, sebagai destinasi ketiga persinggahan pelayarannya.

Kapal dari China yang dinamakan Fu Ning itu berukuran 41.6 meter panjang dan 12 meter lebar, selain mempunyai ketinggian tiang utama 29 meter.

Ia dikemudi sembilan kru serta 12 penumpang dan telah memulakan pelayaran dari China sejak Januari lalu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, Fu Ning akan berlabuh di Melaka selama tujuh hari selepas belayar dari Singapura menggunakan laluan sutera yang digunakan pedagang suatu masa dahulu.

Beliau berkata, kapal tradisional itu merupakan simbolik kepada hubungan baik di antara Melaka dan China terutama dalam bidang perdagangan.

“Mewakili Kerajaan Negeri, kita mengalu-alukan kedatangan kapal ini yang telah berlayar sejak Januari lalu.

“Kita akan melihat nilai yang boleh dilaksanakan bagi menjalin hubungan dalam kedatangan kapal pelayaran ke negeri ini sekali gus mampu memperkasa Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Img 20240501 Wa0004
RAIS (tengah) bersama kapten kapal Fu Ning, Abdul Yazaid Othman bergambar bersama tetamu yang hadir.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menyambut Ketibaan Kapal Layar Tradisional Terbesar Di Dunia ‘Fu Ning’ di Pelabuhan Tanjung Bruas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hasim dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

21150
Kongsi :
Previous post Demi kasih isteri pada suami
Next post Duyong ‘full house’ dengan tetamu datang beraya