Raya satu dekad bersama Konica Minolta
AYER KEROH – Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd menjadikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini lebih bermakna menerusi penganjuran rumah terbuka yang berlangsung cukup meriah, 27 April lalu.
Sambutan yang diadakan di kilang menghasilkan pencetak pelbagai fungsi di Kawasan Perindustrian Tasik Utama Ayer Keroh itu dihadiri lebih 2,000 warga kerja dan tetamu jemputan.
Pengarah Urusannya, Naoto Uryu berkata, sambutan kali ini lebih istimewa kerana ia diadakan menjelang sambutan ulang tahun ke-10 syarikat teknologi utama dari Jepun itu tahun ini.
Katanya, penganjuran itu merupakan simbolik kepada usaha keras warga kerjanya dan semua pihak terlibat dalam menjayakan operasi syarikat berkenaan di Negeri Melaka sehingga berjaya menghasilkan satu juta unit mesin pencetak.
“Sambutan ini juga bertujuan untuk kita bersama meraikan apa jua perayaan di Malaysia dan membawa senyuman kepada seluruh warga kerja.
“Harapan kami adalah untuk terus mengorak langkah sehingga menjadi syarikat yang menghasilkan mesin pencetak nombor satu di Malaysia,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada majlis berkenaan.
Sambutan tersebut turut dihadiri mantan Pengarah Urusannya, Yoshiyuki Atarashi; pihak pengurusan dan warga kerjanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Konica Minolta Business Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Azfaizal R Deni berkata, selain meraikan warga kerjanya, majlis itu turut menyantuni golongan kurang bernasib baik.
Menurutnya, buat julung kali, seramai 24 warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan asnaf telah dijemput bagi bersama-sama merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri di kilang berkenaan.
“Kebiasaannya, kita akan pergi ke tempat mereka untuk menyampaikan sumbangan, tetapi sempena ulang tahun ke-10 ini, kita menjemput mereka ke sini supaya mereka dapat merasai suasana hari raya yang lebih baik.
“Setiap kali perayaan kita tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini.
“Pada masa sama, kita juga mahu 3,000 warga kerja kami yang majoritinya beragama Islam rasa lebih dihargai, di samping turut menjemput wakil agensi kerajaan, pihak swasta, vendor dan mereka yang banyak menjayakan operasi kilang ini di Melaka,” katanya.
Pada majlis itu, pelbagai juadah hari raya telah disajikan kepada tetamu yang hadir antaranya lemang, rendang, nasi himpit, sate dan pelbagai jenis kuih-muih.
Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan istimewa seperti nyanyian, silat, tarian, selain pertunjukan bunga api bagi menambahkan lagi seri sambutan pada tahun ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.