Rumah Terbuka Aidilfitri Mualaf Melaka meriah!
KESIDANG 27 April – Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Mualaf Negeri Melaka berlangsung meriah apabila dihadiri lebih 3,000 tetamu.
Bertempat di Kompleks Darul Huda, di sini, majlis turut dihadiri Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud.
Menurut Md Rawi, sambutan rumah terbuka itu adalah program tahunan yang diadakan bagi meraikan golongan mualaf di Melaka dan menjadi platform merapatkan ukhwah antara mereka.
“Untuk sambutan kali ini lebih 3,000 tetamu yang hadir dan kita menyediakan kira-kira 10 gerai yang menghidangkan pelbagai jenis juadah untuk mereka menjamu selera.
“Gerai juadah ini dikelolakan oleh persatuan yang terbabit seperti Persatuan India Muslim dan Persatuan Tionghua Muslim Melaka (PERTIM) dengan setiap mereka akan menyediakan setiap satu juadah.
“Alhamdulillah, setiap tahun sambutan memang menggalakkan dan ini juga antara usaha kita untuk merapatkan lagi hubungan antara mereka apabila dapat berkumpul bersama-sama,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada majlis berkenaan.
Menurut Md Rawi juga, di pihak MAIM selain mengadakan program bersempena Aidilfitri pelbagai program lain juga dirangka khusus untuk mualaf di Melaka ini.
“Sebenarnya pelbagai program kita rangka dan adakan untuk mualaf ini antaranya setiap tahun akan diadakan sambutan Aidilfitri begitu juga pernikahan pengantin mualaf bertujuan meraikan mereka.
“Menerusi laporan di Melaka ini terdapat kira-kira 8,000 orang mualaf tetapi ini yang berdaftar bagaimanapun kita jangka jumlah itu lebih tinggi kerana ada juga yang tidak berdaftar.
“Untuk itu kita mohon bagi yang belum mendaftar agar dapat tampil berbuat demikian ini akan memudahkan kedua-dua pihak dalam menyampaikan bukan sahaja maklumat tetapi juga sumbangan termasuk jemputan ke program-program diadakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.