Zamani Slam meriahkan raya di Taboh Naning
TABOH NANING 27 April – Persembahan istimewa Zamani Slam memeriahkan lagi suasana Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning berlangsung di Kompleks Japerun Taboh Naning, di sini, semalam.
Zamani yang juga anak jati Melekek Dalam, mempersembahkan beberapa lagu yang menarik perhatian jemputan termasuk Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan lebih 5,000 tetamu yang hadir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, berkata selain hiburan, pelbagai hidangan menarik turut disajikan kepada tetamu yang hadir.
“Antara menu menarik yang kami sediakan pada rumah terbuka kali ini adalah rendang ayam dan itik serta enam ekor kambing golek selain pelbagai lagi makanan bagi memastikan tetamu yang hadir tidak pulang dengan perut kosong.
“Alhamdulillah saya difahamkan tetamu yang hadir bukan sahaja orang DUN Taboh Naning malah ada yang datang dari seluruh negeri bagi bersama-sama memeriahkan sambutan Syawal kali ini,” katanya ketika ditemui pada penganjuran majlis itu.
Hadir sama pada majlis itu adalah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin serta lain-lain kenamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.