RMR 2.0 bantu rakyat miliki rumah dalam tempoh singkat
BANDARAYA MELAKA 23 April – Program Rumah Mesra Rakyat 2.0 (RM2.0) yang diperkenalkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membantu rakyat untuk memiliki kediaman sendiri dalam tempoh singkat berbanding dengan RMR 1.0.
Ketua Pegawai Eksekutif (memangku) SPNB, Zahanuddin Kamarudin berkata, program yang baru diperkenalkan tahun ini itu mampu mempercepatkan peluang mereka yang layak memiliki rumah dalam tempoh antara 45 hari hingga dua bulan.
“Sepanjang tahun ini kita menyasarkan pembinaan RMR 2.0 sebanyak 3,100 unit di seluruh negara dan untuk Melaka sahaja kita peruntukkan 150 unit namun sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada rakyat negeri ini kita akan mengguna pakai kuota negeri lain yang tidak digunakan.
“Berdasarkan rekod, sehingga kini lebih 200 unit permohonan diterima dan Kelantan menerima permohonan tertinggi. Bagi Melaka sepanjang 2024 ini kita menerima 74 permohonan dengan 17 dalam proses dan lapan lulus permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri SPNB Melaka yang turut dihadiri Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk Tpr. Murad Husin dan Pengarah SPNB Melaka & Johor, Khairul Azhar Abdullah, di Pejabat SPNB Melaka, Taman Lagenda, hari ini.
Menurut Zahanuddin, dengan adanya RMR 2.0 ia dapat mengurangkan permintaan terlalu tinggi dan tempoh menunggu bagi pemohonana RMR 1.0 yang kini mempunyai kira-kira 200,000 permohonan yang dibuat meskipun kuota pembinaan hanya 3,000 unit setahun.
“Syarat kelayakan pemohon mendapatkan RMR 1.0 dan RMR 2.0 adalah sama dan pemohon juga layak mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 tetapi yang membezakannya adalah pemohon RMR 1.0 perlu mencagarkan tanah mereka kepada SPNB untuk pinjaman sebanyak RM55,000 namun kelulusannya perlu mengikut giliran.
“Bagi RMR 2.0, baki bayaran pembinaan rumah berjumlah RM55,000 perlu dibayar secara tunai kepada SPNB dengan pemilik tidak perlu mencagar tanah dan selain proses pembinaan jauh lebih cepat kerana tidak perlu menunggu giliran,” katanya.
Terdahulu, pada program sama turut berlangsung serahan surat tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) kepada 31 penerima dan serahan inden kepada kontraktor terpilih.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.