Sorting by

×

TMM2024: Pakej ‘Melaka Nightlife’ bermula Jun

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 21 April – Pakej ‘Melaka Nightlife’ atau juga dikenali sebagai Melaka: Bila Larut Malam akan mula ditawarkan kepada pengunjung dan pelancong bermula Jun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pakej tersebut dirancang untuk ditawarkan pada setiap satu haribulan  setiap bulan.

Katanya, lebih istimewa pakej Melaka: Bila Larut Malam selama satu hari itu menawarkan tiket pada harga RM10 sahaja bagi kemasukan ke lokasi tumpuan pelancongan tertentu.

“Menerusi Pakej Melaka Nightlife ini, pengunjung hanya perlu membeli tiket pada harga RM10 sahaja untuk menaiki Menara Taming Sari, Melaka River Cruise dan masuk ke Zoo Melaka serta muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka.

“Tawaran hebat ini boleh dimanfaatkan bermula jam 11 malam sehingga 3 pagi, bermula Jun ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Beli Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan dan Cabutan Bertuah Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Kiosk Cenderamata, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Pakej Melaka Nightlife atau Melaka: Bila Larut Malam itu juga termasuk dengan pembelian Cenderamata Khas TMM 2024 serendah RM10.

“Objektif program ini bagi menarik lebih ramai pengunjung seterusnya untuk terus ‘menghidupkan’ Melaka pada waktu malam.

“Saya juga meminta, pengusaha hotel, inap desa, kedai makan dan pelbagai lagi pemain industri pelancongan untuk mengambil peluang meningkatkan taraf ekonomi negeri sempena TMM2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

464
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka penyatuan ‘poghut’ Ayer Limau
Next post Aplikasi Jom Melaka Cari Makan tawar diskaun sehingga 50 peratus
Ubah saiz-+=