Bas percuma bawa penduduk ke Rumah Terbuka Aidilfitri Asahan
ASAHAN 20 April – Dianggarkan lebih 5,000 tetamu membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dan UMNO Bahagian Alor Gajah di Dataran Asahan, di sini, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, rumah terbuka kali ini lebih meriah kerana didatangi tetamu dari seluruh pelusuk kampung.
Jelas beliau, lebih menarik sebuah bas percuma turut disediakan untuk membawa penduduk ke majlis rumah terbuka itu.
“Alhamdulillah saya lihat kehadiran di luar jangka pada hari ini, saya harap Aidilfitri kaku ini kita dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.
“Ada lebih 20 juadah disediakan dan semuanya menu yang sangat istimewa, terima kasih juga kepada Panorama Melaka kerana menyediakan sebuah bas percuma untuk penduduk DUN Asahan datang ke sini,” katanya.
Majlis rumah terbuka itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Yang turut hadir, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.
Pada majlis itu juga, seramai 24 orang bakal haji DUN Asahan diraikan sebelum mereka menunaikan ibadah ke Tanah Suci Mekah pada Mei depan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.