Raya luar biasa di Telok Mas
TELOK MAS 20 April – Dianggarkan 12,000 pengunjung berbiilang kaum memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sambutan tahun ini disifatkan luar biasa apabila Padang Taman Seri Telok Mas dibanjiri orang ramai.
Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, kemeriahan itu sekali gus melambangkan keutuhan perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang dan bangsa.
“Alhamdulillah saya begitu bersyukur kerana kehadiran kali ini berada pada luar jangkaan dan ini antara usaha keras dilaksanakan sejak dua minggu lalu bagi mempromosi dan menjemput seluruh rakyat terutama di DUN ini memeriahkan sambutan kali ini.
“Sejak dua minggu pelbagai medium promosi telah dilakukan termasuk di media elektronik dan kaedah tradisional dengan menjemput seluruh rakyat di setiap kampung menggunakan kaedah kenderaan bergerak.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan ini menandakan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri berterusan dan berharap perkara seperti ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Terdahulu, sambutan itu terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan doa selamat dan tahlil di atas pemergian Setiausaha Kerajaan Negeri, Allahyarham Datuk Wira Zaidi Johari, pagi semalam.
Meskipun acara utama dijadual bermula pada jam 8 malam, namun pengunjung mula membanjiri kawasan berkenaan sejak jam 7 malam.
Sambutan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, serta lain-lain kenamaan.
Orang ramai yang hadir disajikan dengan lebih 20 juadah tradisional, selain dihiburkan dengan persembahan artis tempatan, Nabila Razali.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.