Sorting by

×

Tema 60-an meriahkan rumah terbuka DUN Pengkalan Batu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU 18 April – Persembahan kugiran mengalunkan muzik retro menghidupkan lagi suasana Jamuan Temasya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu bertemakan 60-an, berlangsung di Japerun Pengkalan batu, di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, pemilihan tema 60-an bertujuan mengimbau kenangan dulu dan menghiburkan penonton yang hadir.

“Teman dipilih membawa kelainan bagi penganjuran rumah terbuka kali ini, persembahan nyanyian diiringi penari memeriahkan lagi suasana.

“Bagi saya ini adalah cara untuk kita meraikan sambutan Aidilfitri bersama penduduk setempat khususnya warga Pengkalan Batu,” katanya.

Beliau yang juga Exco Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Temasya Aidilfitri DUN Pengkalan Batu yang dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Menurutnya, sambutan Aidilfitri peringkat DUN Pengkalan Batu kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya apabila dikunjungi kira-kira 3,000 penduduk sekitar.

“Setiap tahun kita anggarkan pengunjung yang hadir antara 2,000 hingga 3,000 orang dan sudah semestinya menu yang wajib ada adalah sate serta ketupat.

“Menariknya juga menerusi program sebegini ia secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan antara rakyat dan pemimpin selain memupuk semangat harmoni dalam kalangan penduduk berbilang bangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

209
Kongsi :
Previous post 300 petugas JKM siap sedia digerakkan
Next post Mangsa banjir di Melaka kembali menurun
Ubah saiz-+=