Terima kasih SMK Munshi Abdullah
AYER KEROH 20 Nov.- “Saya mewakili warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka amat berbesar hati dan berterima kasih dengan pemberian ini.
“Usaha dilakukan kumpulan pelajar ini dalam menghasilkan pelindung muka buat pasukan bomba amat dihargai,” itu kata Pengarah JBPM Melaka Abu Obaidat Mohamad.
Abu Obaidat mewakili pasukan bomba negeri menerima 1, 000 pelindung muka (face shield) yang dibuat oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam.
Menurut beliau, sumbangan itu secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan golongan muda terhadap petugas barisan hadapan (frontliner).
“Usaha murni ini pasti akan memberi impak kepada warga JBPM Melaka dalam menjalankan tugas dengan lebih efektif.
“Ianya amat bermakna buat kami menjalankan kerja seharian dalam menangani pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas majlis penyerahan pelindung muka dari pelajar SMK Munshi Abdullah dan hadir sama Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin serta Pengetua SMK Munshi Abdullah Mohd Yusri Seman.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, pemberian ini sebagai tanda rasa prihatin dan membalas jasa baik pihak bomba yang sanggup membanting tulang membantu negara menangani pandemik COVID-19.
Katanya, seramai 20 pelajar tingkatan empat dan lima terbabit dalam menghasilkan pelindung muka ini.
“Pelajar ini mengambil masa kira- kira dua minggu untuk menyiapkan pelitup muka ini ianya sebagai tanda menghargai jasa petugas barisan hadapan.
“Selain JBPM Melaka, kumpulan pelajar ini turut menghasilkan 2, 000 pelitup muka untuk petugas Hospital Melaka,” katanya.