Warga emas maut, bilal parah dua kereta bertembung
ALOR GAJAH 15 April – Wanita warga emas maut manakala bilal masjid parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dalam kejadian di Jalan Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, tengah malam tadi.
Mangsa Timah Abu, 82, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi tadi ketika sedang dirawat di Hospital Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kemalangan maut itu membabitkan Perodua Axia dipandu bilal Masjid Ramuan Cina Besar dan sebuah Proton Wira dipandu lelaki warga Singapura.
Katanya, sebelum kejadian bilal berusia 59 tahun itu dalam perjalanan dari arah Ramuan Cina Besar ke Masjid Tanah manakala Proton Wira dinaiki mangsa yang maut bersama tiga lagi yang lain dalam perjalanan dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Axia itu dikatakan hilang kawalan ketika tiba di selekoh.
“Akibat daripada itu kenderaan terbabit kemudian masuk ke lorong kanan laluan bertentangan dan berlaku perlanggaran dengan Proton Wira yang kebetulan melalui lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, akibat perlanggaran itu pemandu Perodua Axia parah dan kini dirawat di zon merah Hospital Alor Gajah, manakala penumpang Proton Wira disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital sama.
“Manakala pemandu Proton Wira dan dua lagi penumpang termasuk seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan turut dirawat di hospital sama dan dilaporkan stabil.
“Proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian selain kedua-dua kenderaan yang terbabit kini ditahan sementara untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi tindakan lanjut,” katanya.
Ashari berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.