Jawatankuasa khas perlu peruntukan hampir RM1 juta

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 20 Nov – Jawatankuasa khas yang ditubuhkan menangani ancaman haiwan perosak memerlukan peruntukan sebanyak RM941,000 bagi menampung perjalanan operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata menerusi Ops Siong yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka menghabiskan kira-kira RM1,200 hingga RM1,500 sehari bagi membanteras ancaman hidupan liar seperti kera dan babi hutan.

Katanya, jumlah itu sahaja membabitkan penggunaan minyak petrol, peluru dan keperluan makanan bagi kekuatan 15 anggota.

“Bayangkan dalam operasi itu sahaja, kita membelanjakan sejumlah wang yang banyak, jadi kita memerlukan peruntukan yang agak besar membabitkan Perhilitan; pihak berkuasa tempatan (PBT); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam operasi yang akan dijalankan dalam tempoh sebulan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata, kesukaran untuk bergerak melaksanakan misi menghapuskan hidupan liar yang merosakkan tanaman itu tidak dapat dilakukan sekiranya kos perbelaanjaan itu tidak dapat diperolehi.

“Jika kita tidak mampu menyelesaikan masalah babi hutan atau hidupan liar lain seperti kera secara total, kita mampu mengurangkan nisbah haiwan perosak tersebut.

Terdahulu, Norhizam dilaporkan mengumumkan pembentukan jawatankuasa khas bagi menangani ancaman hidupan liar terutama babi hutan dan kera di sekitar negeri ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memohon Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengkaji semula penarikan senjata kepada peladang atau petani yang mempunyai lesen senjata api.

“Saya pohon syarat penarikan senjata itu dikaji bagi memudahkan lagi pekebun mengawal sendiri ladang milik mereka,” katanya.

Views:

332
Kongsi :
Previous post Kompleks Sukan Jasin akan dibina
Next post PKPB di Melaka tamat minggu depan?
Ubah saiz-+=