Sorting by

×

Banjir terburuk sejak tujuh tahun lalu

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

DURIAN TUNGGAL 20 Nov. – “Banjir malam tadi adalah yang terburuk sejak tujuh tahun lalu dan kali ini ia menyebabkan kerugian agak besar,” kata mangsa banjir, Mahat Mohamed, 57.

Beliau berkata, Kampung Bukit Tambun, Bukit Balai dan Pulau, di sini pernah dilanda banjir tetapi tidak seburuk malam tadi.

Beliau berkata, hujan lebat sejak jam 5 petang semalam menyebabkan sungai berhampiran kediamannya di Kampung Bukit Tambun melimpah dan mula masuk ke dalam kediamannya pada jam 9 malam tadi.

“Hujan sangat lebat bersama-sama kilat sabung-menyabung membimbangkan saya sekeluarga kerana rumah kami hanya beberapa meter dari sungai dan ia menjadi nyata apabila air mulai naik pada jam 9 malam.

ARIFFIN menunjukkan kediaman jirannya yang masih dinaiki air di Kampung Bukit Balai, Durian Tunggal.

“Saya dan tujuh anggota keluarga terpaksa memindahkan perabot dan peralatan elektrik ke tempat tinggi apabila air naik setinggi kira-kira satu meter,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana air mulai turun pada jam 9 pagi ini, sekali gus memberi peluang kepada beliau sekeluarga untuk mencuci lumpur dan kotoran lain yang memenuhi kediamannya.

“Kebanyakan perabot bukan setakat dikotori lumpur, malah ada yang rosak akibat terkena air tetapi saya bersyukur kerana peralatan elektrik sempat diselamatkan,” katanya.

Ariffin Hashim, 62, berkata bahagian dapur kediamannya di Kampung Bukit Balai dinaiki air mulai jam 9.15 malam tadi tetapi beliau dan tiga anggota keluarganya tidak berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

“Alhamdulillah, air mulai surut pada jam 9.30 pagi ini dan saya tidak berlengah untuk membasuh rumah dan barangan dapur yang dikotori lumpur,” katanya.

Bagaimanapun, tiga kediaman jirannya masih ditenggelami air setinggi kira-kira 0.5 meter dan mereka masih belum pulang dari PPS berkenaan setakat jam 10 pagi ini, katanya.

Mohd Firdaus Abdullah, 21, berkata beliau dan lima anggota keluarganya pulang dari PPS itu pada jam 9 pagi ini selepas mendapati air semakin surut.

Beliau dan anggota keluarganya mula membasuh kediaman pada jam 9.15 pagi dan berdoa tiada lagi hujan lebat petang atau malam ini.

“Sudah lama kampung ini tidak dilanda banjir dan kali ini kami terpaksa berpindah ke PPS tetapi kami tetap bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera,” katanya di Kampung Bukit Tambun.

Views:

494
Kongsi :
Previous post Melaka anjur Kejohanan PUBG Mobile
Next post UPDATE BANJIR : 242 mangsa terjejas banjir dipindahkan
Ubah saiz-+=