Koperal polis cedera dilanggar mat rempit
BUTTERWORTH, 30 Mac – Seorang anggota polis cedera di beberapa bahagian badan selepas dilanggar seorang remaja lelaki yang cuba meloloskan diri ketika ditahan dalam operasi samseng jalanan di Kilometer 121.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini awal pagi hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt Siti Nor Salawati Saad berkata anggota polis lelaki berpangkat koperal dan berusia 33 tahun itu patah pada tulang rusuk kiri, bengkak kaki kiri, gegaran di kepala dan luka di badan.
“Sepasukan anggota polis telah menjalankan operasi berkenaan di sekitar Kampung Teluk dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) bermula 3 pagi tadi.
“Hasil pemerhatian terdapat beberapa kumpulan motosikal sedang berkumpul dan menunggang secara berbahaya di kawasan itu terutama dua motosikal ditunggang dua remaja lelaki,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata dua anggota polis kemudian bertindak mengekori dua motosikal terbabit yang memecut laju dan cuba meloloskan diri ke arah Sungai Petani, Kedah sebaik menyedari kehadiran polis.
Siti Nor Salawati berkata ketika tiba di Kilometer 121.5 itu, anggota polis yang menunggang motosikal mengekori dua remaja terbabit cuba menahan mereka, namun secara tiba-tiba satu daripada motosikal berkenaan telah melanggar koperal itu hingga kedua-duanya terjatuh.
“Polis kemudian menahan kedua-dua remaja berusia 19 dan 20 tahun itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 353 dan 186 Kanun Keseksaan manakala anggota polis yang cedera dihantar ke hospital,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati satu daripada motosikal terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu dan polis turut menyita motosikal serta mengeluarkan saman terhadap mereka kerana tiada lesen memandu, tiada cukai jalan dan insurans serta mengubah suai motosikal.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.