Sorting by

×

OKU seronok rasai kemeriahan beli baju raya

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Mac – Sebelum ini, pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) ini hanya menerima sahaja sumbangan baju raya yang sudah siap dibeli atau disumbangkan orang ramai.

Namun, kali ini berbeza apabila buat pertama kalinya, Muhammad Shahrin Zulkifli, 25, dibawa bersama ke sebuah pusat beli-belah untuk membeli dan memilih baju raya sendiri.

Pemuda yang menghidap Cerebral Palsy sejak lahir itu, mengakui teruja dan seronok kerana dapat merasai sendiri kemeriahan membeli baju raya setiap kali menjelang lebaran.

“Selalunya saya hanya duduk di rumah, jadi apabila dapat keluar memang tak dapat digambarkan perasaan. Seronok dan teruja sangat.

“Dapatlah saya membeli dua pasang baju dan seluar untuk raya dan saya bersyukur kerana diberi peluang merasai kemeriahan ini,” katanya kepada pemberita.

Muhammad Shahrin merupakan antara 47 penerima sumbangan baju raya anjuran UMNO Cawangan Baruh Alai di sebuah pusat beli-belah, di sini, semalam.

Sementara itu, ibunya, Haslina Jaafar, 45, mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang membantu meringankan bebannya sekeluarga dalam melakukan persiapan menyambut raya tahun ini.

“Dengan pendapatan suami sebagai penoreh getah, sudah tentu berat untuk kami, tapi saya bersyukur, dua anak saya terpilih menerima sumbangan pada tahun ini,” katanya yang merupakan anak jati Kampung Alai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

136
Kongsi :
Previous post Melaka jamin tiada catuan air
Next post Melaka anjur jualan murah ‘Mantai Aidilfitri’ di 13 lokasi
Ubah saiz-+=