Main bola sepak di padang awam kena caj RM80?
AYER KEROH 27 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee kecewa apabila ada pihak cuba mengutip caj sewaan untuk orang ramai yang mahu bermain bola sepak di padang awam Taman Ayer Keroh Heights.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima caj sewaan yang dikenakan kepada orang ramai ialah sebanyak RM80 bagi sekali guna, yang mana ia disifatkan agak melampau.
Chee Yee yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri berkata, pihak tidak bertanggungjawab mengenakan caj berkenaan dengan alasan untuk membuat pembersihan sampah, selain caj tempahan (booking) padang bola tersebut.
“Terdapat dua perkara ingin saya tegaskan di sini. Pertama, padang ini adalah padang awam dan tiada pihak yang berhak mengutip caj sewaan untuk sebarang tujuan booking.
“Sesiapa yang ingin menggunakan padang ini adalah dialu-alukan dan kegunaan adalah berdasarkan prinsip ‘first-come-first-served’ serta semangat bertoleransi.
“Kedua, penyelenggaraan dan pembersihan sampah adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT). Kami menggalakkan mana-mana pihak atau individu untuk menyumbang atau membantu dalam kerja-kerja penyelenggaraan atau pembersihan, tetapi tiada pihak yang boleh mengenakan caj sewaan menggunakan alasan penyelenggaraan dan pembersihan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Menurut Chee Yee, Pejabat Adun Ayer Keroh bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah menggantungkan notis berbentuk kain rentang sebagai amaran pertama dan terakhir kepada pihak berkenaan untuk tidak lagi mengutip caj sewaan.
“Sekiranya terdapat laporan ada pihak yang mengutip caj sewaan, mohon laporkan kepada pihak saya atau MPHTJ. Tindakan penguatkuasaan akan diambil,” tegasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.