Hiasan Pelita terangi DUN Sungai Rambai
SUNGAI RAMBAI 22 Mac – Pertandingan hiasan pelita raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bukan sahaja bakal berlangsung meriah malah mengembalikan semula tradisi sambutan perayaan zaman dahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, saban tahun hiasan pelita di beberapa kawasan di DUN Sungai Rambai seperti di Parit Gantong menjadi tumpuan ramai kerana hiasannya yang menarik hasil kreativiti penduduk.
“Hiasan pelita ini dibuat bukan sahaja untuk memeriahkan suasana kampung bagi menyambut Aidilfitri tetapi juga mengembalikan semula tradisi dulu-dulu.
“Disebabkan itu kali kita menetapkan peserta perlu menggunakan sekurang-kurangnya 200 pelita bersumbu untuk membuat hiasan, bukannya menggunakan lampu LED (diod pemancar cahaya) ataupun solar.
“Kita mahu hidupkan balik suasana dan tradisi lama jadi anak-anak serta generasi sekarang tahu tentang tradisi memasang pelita.
“Kita mahukan tradisi menggunakan pelita tradisional ini diteruskan dari zaman ke zaman,” katanya.
Beliau yang juga Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, pertandingan pada tahun ini juga akan lebih meriah apabila turut melibatkan beberapa agensi kerajaan berbanding hanya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum ini.
“Kali ini kita turut melibatkan agensi yang mana setiap agensi ini akan ceriakan dan hias setiap simpang di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Sungai Rambai, misalnya Simpang Parit Perawas akan dikelolakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) manakala Simpang Parit Putat pula oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Daripada situ kita dapat lihat kreativiti dan kerjasama setiap orang kampung serta agensi ini dalam menghias pelita raya. Pastinya hadiah menarik akan menanti JPKK atau agensi yang berjaya menghias pelita dengan menarik,” katanya.
Jelasnya, peserta mempunyai masa kira-kira seminggu untuk merancang hiasan dan dekorasi pelita mereka sebelum penjurian dilakukan pada 28 dan 29 Mac.
“Pemenang akan diumumkan pada 30 Mac dan penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, selain acara kemuncak pada malam itu adalah pertunjukan bunga api,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.