Nasib si pengayuh beca

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDA HILIR, 19 Nov – “Nasib kami sekarang diibaratkan seakan menunggu buah tidak gugur, seharian menunggu belum pasti ada pelanggan yang datang untuk naik beca.

“Apabila tiada pelanggan sudah pasti pendapatan juga tiada, sekiranya situasi ini terus berlarutan apalah akan jadi kepada nasib kami dan apa yang akan dibawa pulang untuk diberi makan kepada keluarga,” luah salah seorang pengayuh beca di negeri ini, Abu Bakar Othman.

Menurut Abu Bakar, 61, sejak 20 tahun lalu dia mengayuh beca situasi kali ini ekoran pandemik COVID-19 amat memberi impak kepada dia dan rakan-rakan yang lain apabila bukan sahaja kehilangan pelanggan malah pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, walaupun pulang hampa selepas seharian menunggu pelanggan dia terpaksa keluar setiap hari dengan harapan akan ada rezeki buatnya walaupun hanya dapat seorang pelanggan.

“Saya bernasib baik kerana beca ini milik sendiri tidak menyewa kalau tidak mungkin keadaan akan lebih teruk lagi kerana perlu mencari duit lain untuk membayar sewa. Oleh sebab itu saya masih bersabar mengharapkan kalau peroleh RM20 pun sudah memadai untuk membeli lauk dibawa balik.

“Di usia sebegini untuk mencari pekerjaan memang sukar, mungkin kalau ingin meminta bekerja sebagai tukang kebun pun belum pasti diterima,” katanya.

RANJIT Singh

Bagi seorang lagi pengayuh beca Ranjit Singh, 65, berkata, sejak diumumkan pelaksanaan PKPB pada 9 November lalu, dia bersama Abu Bakar dan seorang lagi rakannya belum menerima seorang pelanggan datang untuk menaiki beca.

Katanya, dia kini buntu memikirkan nasib mereka sekiranya situasi ini terus berlarutan selain mengharapkan akan ada pihak yang tampil membantu dan mendengar keluhan mereka.

“Jika sebelum ini sama ada hari biasa atau cuti pengayuh beca akan berada di beberapa lokasi untuk menunggu pelanggan tetapi kini tidak lagi, yang masih bertahan tidak ramai.

“Jika tidak salah saya, hanya kami sahaja yang masih setia di sini menunggu pelanggan. Sekarang ini nak mengharapkan pelancong luar memang tidak dapat, apa yang diharapkan cuma orang Melaka sendiri bantu dan sokong kami,” katanya.

Terdahulu, tinjauan Melaka Hari Ini ke beberapa lokasi yang kebiasaanya menjadi tempat pengayuh beca menunggu pelanggan seperti di kawasan Menara Taming Sari dan berhampiran A’Famosa kini sepi tanpa kelibat beca-beca yang dihias cantik, muzik yang dimainkan selain hanya kelihatan tiga beca di hadapan Bangunan Stadthuys.

Views:

861
Kongsi :
Previous post Permohonan GKP 2.0 lebih 512,000 – Tengku Zafrul
Next post Pegawai PBT Melaka didakwa guna dokumen palsu
Ubah saiz-+=